Thursday, 12 December 2013

SYAIKH MUHAMMAD SAID LINGGI (1875 -1926) (TOK SAID)



Mari kita susuri pula sejarah SYAIKH MUHAMMAD SAID LINGGI atau lebih dikenali sebagai tok said : 

“… Pada tahun 1905, masyarakat Melayu Kelantan menjadi gempar dengan sebab “telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya, iaitu datang seorang nama Haji Encik ´Id bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu tarekat Ahmadiyah…”
Demikianlah antara salinan isi warkah daripada Raja / Sultan Kelantan, bertarikh 14 Ramadan 1323 (bersamaan 12 November 1905) yang diutus “kepada orang tua sahaya, Wan Ahmad bin Haji Wan Din al-Fatani”, seorang tokoh ulama besar Alam Melayu yang menetap di kota Mekah.
Haji Encik ‘Id yang dimaksudkan itu ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syeikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi. Datuknya, Haji Idris, anak Hajah Rahimah binti Khatib Musa dikenali sebagai seorang yang alim. Hampir separuh daripada usianya dihabiskan di kota ilmu Mekah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau.
Satu sumber lain mengatakan, nasab sebelah datuk bapanya sampai kepada Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu´min Linggi bin Syaikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut, Yaman.
Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram semasa bermastautin di kota Mekah.
Ibunya, Hajah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang pembaca (qariah) dan penghafaz al-Quran. Pernah menjadi guru al-Quran, sama ada semasa tinggal di Mekah mahupun ketika berada di Patani.
Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani merupakan guru pondok terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajah Mariam. Bapa Hajah Mariam, Syeikh Abdul Rashid al-Fatani juga seorang tokoh ulama yang termasyhur pada zamannya. Ringkasnya, Muhammad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama terkemuka.
Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi´b Ali Mekah pada hari Sabtu yang ketiga bulan Syaaban tahun 1292 H, bersamaan 25 September 1875. Dipelihara ibu dan neneknya (Hajah Mariam) kerana ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Melayu.
Pada tahun 1882, ketika berusia tujuh tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan di sana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun. Beliau mengaji al-Quran daripada ibunya.
Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar. Empat orang guru awalnya ialah Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Datuk Semela), Datuk Nahu dan Syeikh Muhammad Nuh yang berasal dari Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu fiqh, usuluddin, tasawwuf, nahu dan pelbagai ilmu lagi. Kecuali Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syeikh Abdul Rashid al-Fatani.
Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam hingga terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan, “…ada ketika-ketika mengalir dari kedua-dua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.” (Risalat Kanz al-Mu’id, hlm. 19)
Setahun kemudian (1888), bapanya meninggal dunia ketika berusia 54 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.
Ketika berusia 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Mekah bagi mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya, tersenarailah nama-nama seperti yang berikut:
1. Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
2. Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani
3. Sayyid Abi Bakr Syata
4. Syeikh Ahmad al-Manshawi
5. Syeikh Umar di-Shami
6. Syeikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafie)
7. Syeikh Abdul Karim al-Daghastani
8. Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
9. Syeikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
10. Syeikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
11. Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
12. Syeikh Zainuddin Sumbawa
13. Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan
14. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani
Muhammad Said merupakan seorang penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki dari Mekah ke Madinah kerana menziarah makam Rasulullah s.a.w. Semasa berada di Madinah, beliau sempat berguru dengan Sayyid Jaafar al-Barzanji.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Baitulmaqdis dan akhirnya ke Mesir, mendalami kefahaman tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Di situ beliau juga mendalami ilmu-ilmu syarak, naql dan aqal.
Antara lainnya berguru dengan Syeikh al-Jami´ al-Azhar, iaitu Syeikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syeikh Ahmad al-Rifa”i al-Maliki, iaitu ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar ketika itu (1896).Selanjutnya, beliau pulang semula ke Mekah. Beliau belajar ilmu tarekat dengan Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali, Muhammad Said menerima ijazah tarekat Ahmadiyah, iaitu pada penghujung tahun 1318 Hijrah (bersamaan pertengahan April 1901).
Antara sahabat-sahabat seperguruan Muhammad Said termasuklah Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Hussain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syeikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al-Azhari, dan ramai lagi.
Sekitar tahun 1320 H / 1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan, dan menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarekat Ahmadiyah. Ketika itu beliau telah dilantik menjadi wakil peribadi Syeikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.
Di samping itu, beliau dengan begitu berani mencuba mengikis perbuatan bidaah, pegangan khurafat dan amalan adat yang bertentangan dengan syariat yang banyak diamalkan di dalam masyarakat Melayu. Pada peringkat awal, tindakan Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Bagaimanapun, berkat kesabarannya memimpin tarekat ini, akhirnya beliau berjaya mengumpul ramai pengikut setia.
Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo-China (Saigon), Siam (Ayuthia), dan Kelantan.
Ketika Haji Encik ´Id (panggilan lazim anak muridnya di Kelantan) tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau mendapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telahpun rnengembang ajaran tarekat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut, dan Langgar.
Walaupun seperguruan, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Haji Encik ´Id menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid, tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan mahupun terpelajar. Beliau juga menyebarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id, sebagai teks panduan. Perselisihan mereka berdua jelas ketara apabila banyak kalimat dan pengertian ayat di dalam Risalat al-Faw’id telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.
Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Haji Encik ´Id cepat menimbulkan rasa ‘majdhub’ di kalangan pengikut-pengikutnya. Oleh sebab itu, beliau ditentang keras oleh sebahagian besar ulama Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama yang lain. Kemuncaknya, perihal diri dan ajarannya dibawa kepada pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatani, sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini.
Dan sebagaimana yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syeikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar, bertarikh 5 Safar 1324 H, bersamaan 30 Mac 1906. (Lihat al-Fatawa al-Fataniyah, hal. 180-212. Penerbitannya diselenggarakan oleh anak saudara Syeikh Wan Ahmad, Haji Nik Daud bin Haji Nik Ahmad, Tanah Merah, Kelantan. Cetakan kali ketiga selesai pada 4 Zulhijjah 1377 / 21 Jun 1958, dicetak di Matba Patba Patani Press, Siam)
Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mentuanya. Haji Awang Alim atau Haji Awang Gemuk ialah nama popular bagi Haji Muhammad Zain Atas Banggol, Kota Bharu. Tokoh ini seangkatan dengan Tuan Tabal, Haji Ismail Kadi Atas Banggol, Haji Abbas Sungai Budor, Tok Konok dan Tok Mesir.
Haji Encik ´Id telah berkahwin dengan Hajah Wan Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah Suci Mekah lagi. Ketika itu Hajah Safiah sudah pun menjadi balu, berikutan kematian suami pertamanya di Mekah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.
Sepanjang hayatnya, Syeikh Muhammad Said dikatakan berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.
Berikut disenaraikan sebahagian daripada anak-anaknya:
1.      Haji Abdullah (1905 -1956), Kampung Gedung Latang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas ketua tarekat Ahmadiyah selepas kematiannya.
2. Haji Ahmad (6 April 1910-7 Januari 1964). Ketua yang kedua selepas Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah (1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (semenjak 1950); mendalami pengajian ilmu agama di Mekah dan mewarisi sifat kealiman bapanya. Mempunyai empat orang isteri dan 37 orang anak – 8 orang lulusan universiti dalam negara dan 8 orang lagi lepasan Universiti al-Azhar. Menghasiikan puluhan karya penulisan, termasuk Kanz al-Mu’id, yang mengisahkan riwayat hidup Syeikh Muhammad Said.
3.      Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Ketua yang ketiga selepas Haji Abdullah dan Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani masyarakat Melayu Singapura.
4.   Haji Mansor, Ampangan, Seremban (meninggal 1981).
5.   Haji Muhammad Nor (meninggal 1981).
6.       Haji Muhammad Hamid
7.      Haji Ibrahim (dengan isterinya, Hajah Wan Safiah, Kota Bharu) – bapa kepada Haji Idris Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Setapak, Wilayah Persekutuan.
8. Haji Mahadi (1914 – 20 Februari 1983). Anak kelapan daripada 15 orang adik beradik dan dikatakan paling manja dalam keluarganya. Lulusan Madrasah al-Fatah, Mekah. Seniman terkenal, berlakon dalam 76 buah filem. Lakonan sulungnya adalah secara kebetulan, iaitu sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan (1951). Anak Melayu yang pertama menjadi pengarah filem – Permata di Perlimbahan (1952). Semasa mudanya (1939), pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu.
Syeikh Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qanaah, pemaaf, sabar, takwa, tawaduk, pemalu, pemurah, warak, dan kuat beramal ibadat.
Beliau merupakan seorang ulama yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan. Beliau juga dikatakan amat dikasihi oleh Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 Ogos 1933) dan amat disayangi Dato´Kelana Ma’mur (1889-1945).
Walaupun Syeikh Muhammad Said agak prolifik menghasilkan beberapa karya sendiri, juga terjemahan, namun kebanyakanya tidak dicetak dan sukar diperoleh. Antara karyanya yang sudah dapat dikesan adalah seperti yang berikut:
1. Syarh Kunuz a!-Jawahiral al-Nurniyyat fi Qawa’id al-Tariqat al-Shadhilliyah – Disebut jugaRisalat al-Fawa’id atau Rasa’il Jawiyyah. Selesai diterjemah pada akhir Rabiulawal 1323 H (3 Jun 1905). Membicarakan keistimewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai manfaat lainnya.
2.      Al-Ahzab al-´Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah – Siap ditulis di Singapura pada 15 Rabiulawal 1323 (18 Jun 1905). Berukuran 18 sentimeter x 14 sentimeter, dan tebalnya 200 halaman. Mengandungi himpunan doa dan zikir.
3.    Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba
4.   Sullam al-Ta’ruf ila ‘Iim al-Tasrif
5.   Risalah Path
6.   Al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris
7.   Makalah Kaifiat Mengerjakan Tarawih yang 10 Rakaat
8.   Perjalanan Mendirikan Jumaat
9.   Wazifah-wazifah Bagi Orang yang Salik Pada Permulaan Suluknya
10.  Manuskrip Syair Arab (tanpa tajuk), sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan kaum Wahabi dan kekarutan mereka.
Syeikh Muhammad meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 H (waktu malam), bersamaan 18/19 September 1926, ketika berusia 53 tahun (kiraan tahun Hijrah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di bandar Seremban.
Selain isteri dan anak-anak, beliau juga meninggalkan ibu (ibunya, Hajah Safiah, lahir dalam tahun 1271 H / 1854 M dan meninggal dunia pada pukul 4.00 petang, hari Khamis, 12 Rabiulakhir 1352 H / 3 Ogos 1933, ketika berusia 79 tahun). Beliau juga meninggalkan seorang saudara perempuan kandung, seorang anak saudara dan beribu-ribu murid yang bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Sebagai mengenangkan jasa baktinya, maka Sekolah Agama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuhkan pada 1959), mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pelajaran telah diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Muhammad Said, Seremban.

artikel asal : MUHAMMAD HAKIMIN HAKIM

Allahyarham Haji Mahadi


     Ramai di antara kita yang tidak mengenali Allahyarham Haji Mahadi anak kepada Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi, mari kita kenali serba sedikit tentang insan istemewa ini :

Pelakon dan Pengarah Allahyarham Haji Mahadi tidak asing dalam arena lakonan filem Melayu di Jalan Ampas. 

Ada juga cerita yang mengatakan adik beradiknya yang lain telah memilih tarikat (jalan) yang menumpukan kepada akhirat semata-mata sedangkan beliau telah memilih tarikat yang merangkumi hal-hal dunia dan akhirat. Adik beliau yang dikenali sebagai Sidi Rashid juga mengamalkan satu tarikat yang mempunyai bilangan pengikut yang agak ramai.

Allahyarham juga diberitakan mahir dalam perubatan tradisional dan kebatinan. Allahyarham P. Ramlee dikatakan menuntut ilmu perubatan dan kebatinan daripada beliau. Pelakon Allahyarham Ahmad Mahmud juga pernah bercerita (sumber akan digali semula) yang beliau pernah jatuh sakit semasa berlakon di dalam hutan dan diubati oleh Allahyarham Haji Mahadi dan didapati Ahmad Mahmud membuang air kecil di dalam hutan di tempat kediaman makhluk halus




Nama Penuh: Haji Mohd Mahadi Haji Mohd Said

Asal : Kampung Merbuk, Negeri Sembilan

Tahun Lahir: 1914

Pendidikan: Madrasah al-Falah, Makkah

Tahun Meninggal Dunia: 20 Februari 1983

NAMA Haji Mahadi terpahat dalam catatan sejarah filem Melayu sebagai pengarah filem tempatan pertama menerusi filem arahannya iaitu Pertama Di Perlimbahan yang dikeluarkan oleh Malay Film Production pada 1952. 
Filem ini membuka satu langkah baru kepada pengarah tempatan lain, terutama pengarah Melayu. Sebelum ini bidang pengarah filem dipelopori pengarah luar, terutama dari India dan Filipina. 

Filem Permata Di Perlimbahan dibintangi Nordin Ahmad yang berlakon buat pertama kalinya di sisi Maria Menado, Salmah Ibrahim, J Husny dan Suud Jr. 

Pembabitannya dalam dunia filem dikatakan sebagai kebetulan, apabila beliau tampil sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan pada 1951. Filem terbitan Malay Film Productions (MFP) diarahkan oleh (Datuk L Krishnan) dengan pelakonnya P Ramlee dan Rokiah. 

Sebelum itu, Haji Mahadi pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1939 ketika berusia sekitar 25 tahun. Di MFP, beliau sebenarnya tidak terus menjadi pelakon, tetapi bermula sebagai penterjemah, sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan penolong pengarah. 

Bermula dari situlah, dengan masa yang dianggap singkat beliau dilantik menjadi pengarah utama dengan mengarahkan filem Pertama Di Perlimbahan. 

Bagaimanapun, menyedari kebolehannya sebagai pengarah filem belum kukuh, beliau enggan meneruskan tugas itu. 

Beliau secara jujur pernah pernah berkata: “Saya perlukan pengalaman yang lebih lama.”

Selepas itu, Haji Mahadi kembali berjuang dalam seni lakonan. Hajatnya tercapai apabila beliau ditawarkan berlakon filem Istana Impian (1953) dan Hujan Panas pada 1954.

Filem Hujan Panas agak istimewa kerana menyebabkan beliau mendapat gelaran seniman pembantu pujaan yang diberi berdasarkan satu undian nasional. 

Sejak itu beliau disanjung sebagai seniman serba boleh dengan mendukung peranan dalam beraneka cerita dan ragam, daripada orang tua, muda, baik, miskin, kaya dan sultan, semuanya dapat dilakonkan dengan baik. 

Walaupun menerima sanjungan, Haji Mahadi tetap seorang yang merendah diri. Beliau tidak mudah lupa daratan, terutama kepada keluarga dan rakannya. 

“Tiada perkara yang dapat menyenangkan dan menggembirakan hati saya selain melihat keadaan aman dan tenteram kaum keluarga dan sahabat handai saya,” katanya. 

Ketika zamannya, isu kafir mengkafir hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila beliau terbabit dalam bidang seni.

"Hukum agama kita, yang diakui Allah itu luas. Mengapa mesti disempitkan?" katanya apabila diminta mengulas isu itu.

Haji Mahadi daripada keluarga alim

KETOKOHAN Haji Mahadi sewajarnya tidak patut dilupakan dalam perfileman nasional tanah air. 

Kemunculan awal beliau atau nama sebenarnya Haji Mohd Mahadi Haji Mohd Said dalam dunia filem Melayu agak unik. 

Kalau orang lain seperti P Ramlee, S Roomai Noor, Omar Rojik atau M Amin menjadi pelakon terlebih dulu sebelum dilantik sebagai pengarah.

Bagaimanapun, Haji Mahadi bermula sebagai pengarah kemudian menjadi pelakon.

Beliau menjadi pelakon selepas mengarahkan filem Permata di Perlimbahan, tetapi berasakan dirinya masih kekurangan pengalaman, beliau enggan meneruskan kerja itu. 

Sebaliknya beliau memilih menjadi pelakon saja. Pada mulanya hanya sebagai pelakon pembantu saja dan filem pertama lakonannya ialah Hujan Panas. Sejak itu, dia mula melakonkan pelbagai watak. 

Malah Haji Mahadi terkenal dengan watak sebagai seorang Sultan. Antaranya, menjadi Sultan Mansur Shah dalam filem Hang Tuah pada 1956; memegang watak Tun Jana Khatib menerusi filem Singapura Dilanggar Todak (1962); menjadi raja untuk Indera Bangsawan atau sultan dalam filem Raja Laksamana Bintan (1959).

Beliau pernah melakonkan watak iblis dalam filem Iman (1954), sebagai Pak Lebai menerusi filem Budi Dan Dosa (1963), atau seorang kaya yang tamak haloba dalam filem Ribut (1956). Bersama P Ramlee dan S Kadarisman, Haji Mahadi sebagai Abdul Wahab menerusi filem Tiga Abdul (1964).

Haji Mahadi mengakui orang seni tidak semestinya datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang seni. Kemunculan beliau membuktikan ada orang seni datang daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya.

Ini kerana bapa beliau adalah seorang yang alim dan warak serta terkenal sebagai pendukung kemuliaan agama yang murni.

Kemuliaannya masih disanjung hingga sekarang. Haji Mahadi adalah salah seorang anaknya yang lahir di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada 1914. Beliau kemudian menuntut ilmu di Makkah sejak berusia 13 tahun.

Beliau anak kelapan daripada 15 beradik. Antara saudaranya ialah Ahmad Mohd Said iaitu bekas Mufti Besar Negeri Sembilan; Redza sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Malaysia dan Abdul Rashid seorang guru agama terkenal di Singapura dan Malaysia.

Haji Mahadi dikatakan anak paling disayangi. Ciri-ciri fizikalnya seperti berwajah tampan dan berkulit cerah kekal hingga ke akhir hayatnya. Beliau tidak mensesiakan pengetahuannya dalam ilmu agama kerana banyak murid yang berguru dengannya.

Selang beberapa tahun kembali dari Makkah, Haji Mahadi menukar haluan hidupnya.

“Bukan kerana saya tak suka menjadi guru agama, tetapi, ialah sebab pada ketika itu saya rasa diri saya serba kekok kerana dipuja orang yang lebih tua daripada saya,” katanya.

Beliau pernah ditanya apa bezanya seorang tokoh agama dengan pelakon, dan menjawab, “Cara pemujaan antara kedua-dua itu berbeza.”.

Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Haji Mahadi pernah berlakon hampir 76 filem. Antara yang dikenali ialah Hang Tuah (1956), Indera Bangsawan (1961), Si Tanggang (1961), Budi Dan Dosa (1962), Tiga Abdul (1964), Jebat Maut (1967) dan Raja Bersiong (1967).


Tuesday, 26 November 2013

FAKTA TENTANG HITLER YANG TELAH DI HILANGKAN OLEH PARA SEJARAWAN BARAT



FAKTA YANG DI HILANGKAN DALAM SEJARAH DUNIA OLEH PARA SEJARAWAN 

aku berbual dengan seorang ahli keluarga yang sedang menamatkan tesis PhD beliau dan aku amat terperanjat apabila beliau nyatakan tesis beliau berkaitan Adolf Hitler, pemimpin Nazi. maka aku katakan "takkan dah habis semua tokoh islam di dunia ini sampai kamu memilih si bodoh ini dijadikan tajuk?" beliau ketawa lalu bertanya apa yang aku ketahui tentang Hitler. aku menjawab bahawa Hitler seorang pembunuh yang membunuh secara berleluasa dan meletakkan german mengatasi segala-galanya...lalu dia bertanya dari mana sumber aku. aku menjawab sumberku dari TV pastinya. lalu dia berkata : " baiklah, pihak British telah melakukan lebih dahsyat dari itu...pihak jepun semasa zaman Emperor mereka juga sama........tapi kenapa dunia hanya menghukum Hitler dan meletakkan kesalahan malahan memburukkan nama Nazi seolah-olah Nazi masih wujud hari ini sedangkan mereka melupakan kesalahan pihak british kepada scotland, pihak Jepun kepada dunia dan pihak afrika selatan kepada kaum kulit hitam mereka?" aku meminta jawapan dari beliau. beliau menyambung : "ada dua sebab -
 1. prinsip Hitler berkaitan Yahudi, Zionisme dan penubuhan negara Israel. Hitler telah melancarkan Holocaust untuk menghapuskan Yahudi kerana beranggapan Yahudi akan menjahanamkan dunia pada suatu hari nanti. (sekarang telah berlaku....) 
2. Prinsip Hitler berkaitan Islam. Hitler telah belajar sejarah kerajaan terdahulu dan umat yang lampau, dan beliau telah menyatakan bahawa ada tiga tamadun yang terkuat, iaitu Parsi, Rome dan Arab. Ketiga-tiga tamadun ini telah menguasai dunia satu ketika dulu dan Parsi serta Rome telah mengembangkan tamadun mereka hingga hari ini, manakala Arab pula lebih kepada persengketaan sesama mereka sahaja. Beliau melihat ini sebagai satu masalah kerana Arab akan merosakkan Tamadun Islam yang beliau telah lihat begitu hebat satu ketika dulu. Atas rasa kagum beliau pada Tamadun Islam, beliau telah mencetak risalah berkaitan Islam dan diedarkan kepada tentera Nazi semasa perang, walaupun kepada tentera yang bukan Islam. Beliau juga telah meberi peluang kepada tentera German yang beragama Islam untuk menunaikan solat ketika masuk waktu di mana jua...bahkan tentera German pernah bersolat di dataran Berlin dan Hitler ketika itu mennggu sehingga mereka tamat solat jemaah untuk menyampaikan ucapan beliau... Hitler juga sering bertemu dengan para Ulamak dan meminta pendapat mereka serta belajar dari mereka tentang agama dan kisah para sahabat dalam mentadbir khasnya Syeikh Amin Al-Husainiy Beliau juga meminta para Sheikh untuk mendampingi tentera beliau bagi mendoakan mereka yang bukan Islam dan memberi semangat kepada yang beragama Islam untuk membunuh Yahudi.








Semua maklumat ini ialah hasil kajian sejarah yang dilakukan oleh saudara aku untuk tesis PhD beliau dan beliau meminta aku tidak menokok tambah apa-apa supaya tidak menyusahkan beliau untuk membentangkannya nanti. Beliau tidak mahu aku campurkan bahan dari internet kerana aku bukan pakar bidang sejarah. Tetapi gambar-gambar yang ada di sini sudah lama tersebar dan semua orang boleh melihatnya di internet. Aku juga sedaya upaya mencari maklumat tambahan di internet dan berjumpa beberapa perkara :

 1: Pengaruh Al-Quran di dalam ucapan Hitler. Ketika tentera Nazi tiba di Moscow, Hitler berhajat menyampaikan ucapan. Dia memerintahkan penasihat-penasihatnya untuk mencari kata-kata pembukaan yang hebat tak kira dari kitab agama, kata-kata ahli falsafah ataupun dari bait syair. Seorang sasterawan Iraq yang bermastautin di German mencadangkan ayat Al-Quran bermaksud : Telah hampir Hari Kiamat dan bulan akan terbelah... Hitler berasa kagum dengan ayat ini dan menggunakannya sebagai kalam pembukaan dan isi kandungan ucapan beliau. Memang para ahli tafsir menghuraikan bahawa ayat tersebut bermaksud kehebatan, kekuatan dan memberi maksud yang mendalam. Perkara ini dinyatakan oleh Hitler di dalam buku beliau Mein Kampf yang ditulis di dalam penjara bahawa banyak aspek tindakan beliau berdasarkan ayat Al-Quran, khususnya yang berkaitan tindakan beliau ke atas Yahudi... 
2. Hitler bersumpah dengan nama Allah yang Maha Besar Hitler telah memasukkan sumpah dengan nama Allah yang Maha Besar di dalam ikrar ketua tenteranya yang akan tamat belajar di akademi tentera German. " Aku bersumpah dengan nama Allah (Tuhan) yang Maha Besar dan ini ialah sumpah suci ku,bahawa aku akan mentaati semua perintah ketua tentera German dan pemimpinnya Adolf Hitler, pemimpin bersenjata tertinggi, bahawa aku akan sentiasa bersedia untuk berkorban dengan nyawaku pada bila-bila waktu demi pemimpin ku" 

3. Hitler telah enggan meminum beer (arak) pada ketika beliau gementar semasa keadaan German yang agak goyah dan bermasalah. Ketika itu para doktor mencadangkan beliau minum beer sebagai ubat dan beliau enggan, sambil mangatakan " Bagaimana anda ingin suruh seseorang itu minum arak untuk tujuan perubatan sedangkan beliau tidak pernah seumur hidupnya menyentuh arak?" Ya, Hitler tidak pernah menjamah arak sepanjang hayat beliau...minuman kebiasaan beliau ialah teh menggunakan uncang khas.

Bukanlah tujuan penulisan ini untuk membela apa yang dilakukan oleh Hitler, tetapi ianya bertujuan untuk menyingkap apa yang disembunyikan oleh pihak Barat. Semoga kita semua beroleh manfaat....



sumber : amie raman 

Friday, 22 November 2013

ASAL USUL SOLAT

Di petik dari blog jalan akhirat semoga pengetahuan dapat di kongsi bersama



asal usul solat 5 waktu

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan Dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. Pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama :- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua :- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.
ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s.,iaitu tatkala Allah s.w.t. Telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
Rakaat pertama :- Bersyukur bagi penebusan .
Rakaat kedua :- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya Dan juga anaknya .
Rakaat ketiga :- Bersyukur Dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat :- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama :- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua :- Kelam dengan air laut .
Rakaat ketiga :- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat :- Kelam dengan perut ikan Nun .
MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan Dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
Rakaat pertama :- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua :- Untuk menafikan tuduhan Dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga :- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.
ISYAK:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir.Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama :- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua :- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga :- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat :- Dukacita terhadap anak Firaun .

semoga bermanfaat kepada semua

Sunday, 3 November 2013

RAJA DI SYURGA


Sewaktu singgah di sebuah pekan di Batu Pahat untuk mengalas perut dalam perjalanan untuk ke rumah saudara aku telah didatangi oleh seorang hamba allah yang pada zahirnya hadir dengan pakaian  bercompang camping dan kusut masai duduk di meja sebelah kiri aku sambil merenung aku  lantas berkata  "DI DALAM SYURGA ADA RAJA"  Setelah itu dia terus pergi, membuat aku termenung memikirkan bicara sang pencipta yang maha agung,

Siapakah dia raja di dalam syurga? apakah yang di maksudkan dengan syurga?  syurga dunia atau syurga di sana?  apakah maksud teguran sang pencipta untuk kali ini? soalan soalan yang terus berlegar dalam kotak pemikiran ku...

siapa raja disyurga?

Di dalam suatu majelis pengajaran, tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda, "Besok pagi akan ada seorang ahli surga yang bersembahyang bersama kamu!!"
Abu Hurairah, yang meriwayatkan hadits ini, berkata dalam hati,  "Aku berharap, akulah yang ditunjuk oleh beliau….!"
Waktu subuh  esok harinya, Abu Hurairah shalat di belakang beliau. Ia tetap tinggal di tempatnya ketika beberapa orang pamit untuk pulang. Tiba-tiba ada seorang hamba/budak hitam berpakaian compang-camping datang mendekat dan menjabat tangan Rasulullah SAW, ia berkata, "Ya Nabiyallah, doakanlah aku semoga aku mati syahid!!"
Rasulullah SAW memenuhi permintaan orang tersebut. Sementara beliau berdoa, tercium bau kesturi dari tubuhnya yang kelihatan kumuh dan kotor.  Setelah orang itu berlalu, Abu Hurairah bertanya, "Apakah orang tersebut, Ya Rasulullah?"
"Benar," Kata Nabi SAW, "Ia hamba sahaya dari Bani Fulan…"
"Mengapa tidak engkau beli dan engkau merdekakan, Ya Rasulullah!!" Kata Abu Hurairah.
"Bagaimana aku akan berbuat seperti itu, kalau karena keadaannya tersebut, Allah akan menjadikannya seorang raja di surga."
Beberapa saat kemudian, beliau bersabda lagi, "Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya di surga itu ada raja dan orang-orang terkemuka, dan dia ini salah satu raja dan orang terkemuka tersebut. Ya Abu Hurairah, sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang yang suci hati, yang samar, yang bersih, yang terurai rambutnya, yang kempis perutnya kecuali dari hasil yang halal. Mereka ini, bila masuk menghadap penguasa tidak akan diizinkan, bila meminang wanita bangsawan tidak akan diterima, bila tidak ada ia tidak dicari, bila hadir tidak dihiraukan, bila sakit tidak dijenguk, bahkan bila mati tidak dihadiri jenazahnya."
Salah seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepada kami salah seorang dari mereka (selain budak hitam tadi)!"
"Uwais al Qarany," Kata Nabi SAW, "Seseorang berkulit coklat, lebar kedua bahunya, sedang tingginya dan selalu menundukkan kepalanya sambil membaca al Qur'an. Tidak terkenal di bumi, tetapi sangat terkenal di langit. Jika ia bersungguh-sungguh meminta kepada Allah, pasti dikabulkan. Di bawah bahu kirinya ada bekas belang sedikit…Wahai Umar dan Ali, jika kamu bertemu dengannya, mintalah agar ia membacakan istighfar untukmu…!"
Dalam riwayat lainnya, beliau berpesan kepada Umar dan Ali, agar Uwais membacakan istrighfar untuk umat beliau.

Thursday, 6 June 2013

Lensa Kamera Nikon Yang Rosak Diperbaiki Dengan MENDIDIHKAN

Sebuah pusat servis Nikon di Taiwan melaporkan bahawa mereka telah berjaya menyelamatkan lensa Nikkor 17-35mm f/2.8 yang berharga lebih RM 7500 dengan mendidihkannya. Lensa berkenaan telah terjatuh ke dalam air laut dan menyebabkan ia tidak dapat berfungsi lagi.

Selepas diselidik, mereka dapati AF motor telah rosak teruk dan perlu ditukar. Selain itu banyak bahagian telah berkarat dan terkena garam menyebabkan ia tidak dapat berfungsi lagi. Namun begitu, lensa kamera berkenaan telah berjaya diperbaiki dengan mendidihkannya. Jom kita tengok proses ‘memasak’ dan meperbaiki lense ini yang mengambil masa 3 hari. 

p/s : DIINGATKAN bahawa ini adalah proses yang dijalankan oleh mereka yang betul-betul pakar. Anda dinasihatkan untuk tidak mencubanya sendiri di rumah.saya tidak akan bertanggungjawab jika harta benda anda mengalami kerosakan akibat kedegilan yang tidak mengendahkan nasihat ini









kredit to : wujud paranormal team

Thursday, 30 May 2013

KISAH HIDUP SALAHUDDIN AL-AYUBI


Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.
Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)

Peperangan Salib di Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah SAW naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit.
Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin Yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Kematian Salahuddin Al-Ayubi

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.
Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara’

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.
Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Al-Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”
Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi”

Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.
Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.
Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, “Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.
Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”. Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin Al-Ayubi

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.
Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.

Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur’an.